Tesla Akan Bina Stesen Penyimpanan Tenaga Di Sisi Grid Di Shanghai

SHANGHAI, 21 Jun — Syarikat pembuat kereta Amerika Syarikat, Tesla, pada Jumaat menandatangani perjanjian dengan rakan usaha sama China untuk membina sebuah stesen penyimpanan tenaga di sisi grid di Shanghai menggunakan bateri penyimpanan tenaga Megapack miliknya, lapor Xinhua.

Perjanjian itu, dengan jumlah pelaburan sebanyak 4 bilion yuan (kira-kira US$556 juta), menandakan langkah Tesla memasuki pasaran penyimpanan tenaga China yang semakin berkembang, sekali gus membuka laluan bagi kemudahan berkenaan disambungkan kepada grid kuasa negara itu yang merupakan terbesar di dunia. 

Stesen penyimpanan tenaga berskala gigawatt-jam itu akan dibina di Kawasan Khas Lin-gang dalam Zon Perdagangan Bebas Perintis China (Shanghai), menurut perjanjian yang ditandatangani oleh Tesla bersama Jawatankuasa Pentadbiran Kawasan Khas Lin-gang, pihak berkuasa tempatan  Daerah Fengxian di Shanghai, serta China Kangfu International Leasing Co Ltd.

Ia akan menjadi stesen penyimpanan tenaga di sisi grid pertama Tesla yang dibina di tanah besar China.

Pengurus Besar perniagaan tenaga Tesla China Dong Kun berkata stesen berkenaan akan menyertai dagangan elektrik pasaran semasa sebaik beroperasi kelak, bagi membantu mengimbangi permintaan tenaga semasa waktu puncak dan luar puncak serta meningkatkan kestabilan grid.

Tesla juga akan meningkatkan kerjasama dengan China Kangfu bagi melancarkan penyelesaian tenaga sifar karbon ke peringkat global.

Pada Februari tahun ini, kilang baharu Tesla iaitu Megafactory di Kawasan Khas Lin-gang, yang merupakan loji keduanya di Shanghai selepas Gigafactory, telah memulakan pengeluaran bateri Megapack.

Tesla menjangkakan peningkatan tahunan sebanyak 50 peratus dalam penyebaran penyimpanan tenaga pada tahun 2025.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda