KUALA LUMPUR, 16 Feb — Tenaga Nasional Bhd (TNB) merupakan antara kaunter paling untung dalam dagangan awal hari ini selepas dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) mengenai kejayaan bidaannya untuk kapasiti penjanaan baharu berkaitan empat loji janakuasa.
Pada 9.53 pagi, saham syarikat meningkat 12 sen kepada RM14.08 dengan 202,700 saham diniagakan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lepas, TNB mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima empat surat pemberitahuan (LON) melalui anak syarikatnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) mengenai terma teknikal dan komersial.
LON itu mengesahkan TNB Genco sebagai pembida yang berjaya di bawah Permintaan Cadangan untuk Kapasiti Penjanaan Baharu Bagi Tahun 2025 hingga 2029 untuk bidaan kompetitif Semenanjung Malaysia (Kategori 1) yang dijalankan oleh ST untuk tiga loji janakuasa dan bidaan kompetitif Semenanjung Malaysia (Kategori 2) untuk membangunkan loji janakuasa.
Loji di bawah Kategori 1 ialah Stesen Janakuasa Gelugor dengan kapasiti 310 megawatt (MW) dan Stesen Janakuasa Putrajaya (249 MW) dengan tarikh operasi komersial (COD) 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2029 dan Stesen Janakuasa Tuanku Ja’afar PD1 (703 MW) di Port Dickson dengan COD dari 1 Sept 2028 hingga 31 Dis 2026.
Di bawah bidaan kompetitif Kategori 2, TNB dan Aurora Power Generation Sdn Bhd merancang untuk membangunkan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan baharu dengan kapasiti nominal 1,400MW di Paka, Terengganu.
Menurut CIMB Securities Sdn Bhd, kelulusan untuk kilang baharu di Terengganu merupakan berita positif bagi TNB berikutan ia dapat menjana kira-kira RM200 juta setahun dalam bentuk pendapatan sebelum faedah dan cukai apabila siap pada 2029.
“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM15.10 sesaham,” katanya.
















Tinggalkan Balasan