TXA 2025 Bakal Himpun Pemain Industri Bidang Pengangkutan, Logistik

SEPANG, 24 Jun — Kementerian Pengangkutan (MOT) buat julung kali bakal menganjurkan Transport Expo Asia (TXA) 2025 pada 11 hingga 13 Nov ini, platform menghimpunkan pemain industri dalam bidang pengangkutan dan logistik. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penganjuran TXA 2025 memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang pengangkutan dan logistik berdaya saing. 

Beliau berkata ia menghimpunkan penggubal dasar, pemain industri, akademik, dan penyedia teknologi untuk membentuk masa depan mobiliti serta perdagangan lebih pintar dan mampan. 

“TXA 2025 menjadi platform untuk kita sama-sama berbincang dan juga membentuk sebuah masa depan yang lebih mampan dan lebih hijau untuk kemudahan pengangkutan dan juga perdagangan negara,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan TXA 2025 di sini hari ini.

Loke berkata TXA acara tambahan kepada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), namun memfokuskan kepada pemain industri dalam bidang pengangkutan.

Beliau berkata Jemaah Menteri telah membenarkan Kementerian Pengangkutan menganjurkan acara lain kerana LIMA akan difokuskan kepada bidang pertahanan, manakala TXA pula dalam pengangkutan dan logistik.

“MOT tahun ini tidak jadi penganjur kepada LIMA. TXA 2025 akan menjadi edisi pemula kepada siri dwitahunan TXA, dengan TXA 2026 dirancang pada suku ketiga tahun hadapan,” katanya sambil menambah lokasi acara itu akan ditetapkan kemudian. 

Beliau berkata antara program penting yang dianjurkan bersama TXA 2025 ialah Kongres Keselamatan Jalan Raya 2025 yang akan diteruskan dalam edisi 2026 sebagai acara tahunan rasmi. 

“Kongres itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan kerjasama dalam memperkukuh keselamatan jalan raya di Malaysia,” katanya. 

Loke berkata lebih 80 syarikat pempamer daripada sektor pengangkutan pelbagai mod, logistik pintar, automasi, digital rantaian sejuk dan lain-lain akan menyertai TXA 2025.

Lebih 3,000 pelawat perdagangan termasuk delegasi ASEAN dan pemimpin industri dijangka menyertai TXA 2025 di sebuah hotel bertemakan “Future On The Move: Digital, Sustainable Transport, Agile Logistics & ESG-Driven Supply Chains”.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda