KUALA LUMPUR, 24 Jun — Uni Enrol, platform pendaftaran pelajar dalam talian terbesar di Malaysia menjalin kerjasama dengan Global Education Alliance (GEA) bagi memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi akses pendidikan tinggi.
Uni Enrol memaklumkan kerjasama berkenaan menandakan pencapaian penting dalam memartabatkan peranan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar dari Asia Pasifik dan seluruh dunia untuk melanjutkan pengajian.
Majlis penandatanganan perjanjian antara kedua-dua pihak yang berlangsung semalam disaksikan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil pada Majlis Kerjasama Pelaburan Strategik dan Pelancaran Biasiswa Lembah Pantai 2025 di sini.
“Kerjasama ini akan memperluas keupayaan platform Uni Enrol untuk menyokong pelajar Malaysia dan antarabangsa dalam mencari peluang pendidikan tinggi, sama ada bagi program ijazah penuh di Malaysia atau laluan transnasional ke destinasi pengajian terkemuka seperti United Kingdom (UK), Australia, New Zealand dan Ireland,” menurut Uni Enrol dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, menerusi kerjasama berkenaan semua institusi dalam rangkaian GEA akan disepadukan ke platform dalam talian Uni Enrol, sekali gus mewujudkan hubungan yang lancar antara pengambilan pelajar secara fizikal oleh GEA dan kemudahan akses dalam talian Uni Enrol yang boleh diakses setiap masa.
“Yang penting, kolaborasi ini dijangka menarik lebih ramai pelajar antarabangsa ke Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai destinasi pendidikan bertaraf dunia yang terkemuka. Hal ini selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk menarik kehadiran 250,000 pelajar antarabangsa tahun ini.
“Kemunculan bakat tempatan dan antarabangsa yang semakin meningkat akan terus memperkaya landskap pendidikan tinggi di Malaysia serta menyumbang kepada kumpulan siswazah berkemahiran tinggi yang lebih besar, yang menganggap Malaysia sebagai rumah mereka sama ada dahulu mahupun sekarang,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Uni Enrol Rickson Khaw berkata kerjasama terbabit membolehkan mereka mempromosikan institusi Malaysia di persada antarabangsa dan menjadikan pendidikan bertaraf dunia lebih mudah diakses dan telus.
Ketua Pegawai Eksekutif GEA Freeman Yeung pula berkata kerjasama itu sebahagian daripada matlamat mereka untuk membuka peluang kepada pelajar di seluruh dunia dengan menyediakan laluan istimewa bagi memperoleh pendidikan bertaraf dunia pada kos lebih rendah.
“Malaysia menawarkan kombinasi ideal antara kos yang berpatutan, pendidikan berkualiti tinggi dan kepelbagaian budaya. Bersama-sama, kami berusaha untuk mencipta pengalaman yang memberi impak besar kepada pelajar serta menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan di Malaysia. Kami sangat teruja untuk melihat bagaimana kerjasama ini membentuk masa depan pendidikan di peringkat global,” katanya.
Pada majlis berkenaan Uni Enrol turut melancarkan Biasiswa Lembah Pantai 2025 dengan kerjasama insitusi swasta terkemuka.
Inisiatif itu akan memberikan 17 biasiswa penuh kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dalam kawasan Lembah Pantai.
Pelajar yang layak termasuk berasal daripada keluarga berpendapatan tahunan kurang daripada RM8,000 atau yang pernah mewakili negeri atau negara dalam acara sukan.
Tinggalkan Balasan