Unjuran Purata Harga MSM RM4,300 Tahun Ini Dan RM4,000 Bagi 2026-2027

KUALA LUMPUR, 29 Sept — Harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2025 dijangka pada paras purata menghampiri RM4,300 satu tan sebelum menyederhana kepada sekitar RM4,000 pada 2026 dan 2027, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu berkata harga MSM kukuh dalam suku pertama 2025 (S1, 2025), diniagakan lebih tinggi berbanding harga minyak kacang soya susulan pemulihan hasil tanaman Indonesia selepas mencatat prestasi lemah pada 2024.

“Sejak itu, harga MSM telah lemah namun kekal lebih tinggi daripada jangkaan awal berikutan bekalan yang lebih terhad walaupun berlakunya peningkatan dari tahun ke tahun,” katanya dalam satu nota hari ini.

Kenanga IB juga mengunjurkan bekalan minyak makan akan meningkat dalam julat 2.0-3.0 peratus tahun ke  tahun pada 2026 dan peningkatan secara berperingkat ini akan diserap lebih mudah tahun depan memandangkan pendasar atau asas permintaan terus berkembang sebanyak 3.0-4.0 peratus setahun.

“Berikutan itu, paras inventori dijangka tidak banyak meningkat pada 2026 dan berpotensi kepada 2027. Inilah asas bagi unjuran kami bagi harga MSM lebih kukuh dalam 2026 dan 2027,” katanya.