Urus Niaga Rasmi Wang Kertas Baharu Syria Bermula – Bank Pusat

DAMSYIK, 3 Jan — Naib Gabenor Pertama Bank Pusat Syria (CBS), Mokhles al-Nazer, pada Sabtu mengumumkan permulaan urus niaga rasmi wang kertas baharu Syria susulan persiapan rapi yang dijalankan sejak beberapa bulan lepas, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA).

“Sejak awal pagi tadi, wakil daripada bank swasta dan syarikat pengurupan mata wang telah mula membanjiri cawangan Bank Pusat di setiap wilayah bagi menerima mata wang pound Syria yang baharu,” kata Al-Nazer menerusi hantaran di platform X.

Pada Jumaat, CBS menggesa semua pihak supaya mematuhi arahan berkaitan penjagaan integriti, kualiti dan rupa bentuk wang kertas Syria itu dengan menyifatkannya sebagai dana awam serta simbol kedaulatan negara melalui pengawalseliaan penggunaan dan edarannya.

Presiden Ahmad al-Sharaa secara rasmi melancarkan mata wang nasional baharu itu pada Isnin lepas di Istana Persidangan (Conferences’ Palace) di Damsyik.