Warga Asing Anggap Budi95 Adil, Rakyat Malaysia Disaran Hargai Subsidi

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Rakyat Malaysia disifatkan bertuah kerana menikmati harga petrol lebih rendah berbanding warga asing menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Warga Somalia, Faisal Abdi Ali, 45, berkata penjimatan yang diperoleh rakyat Malaysia melalui pelaksanaan BUDI95 memberi kelebihan dari segi pengurusan kewangan isi rumah, termasuk membolehkan perbelanjaan diagihkan kepada keperluan lain.

Biarpun inisiatif berkenaan tidak melibatkan warga asing, beliau menyifatkannya sebagai langkah yang adil dan wajar memandangkan keutamaan perlu diberikan kepada rakyat tempatan.  

“Saya faham kerajaan perlu memberi perhatian kepada rakyatnya sendiri, dan ia satu tindakan yang adil. Rakyat Malaysia seharusnya menghargai subsidi petrol yang diberikan serta berterima kasih kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Faisal, yang menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu bagi menyambung pengajian, baru-baru ini menamatkan pengajiannya di sebuah universiti swasta di ibu negara.

Mengulas harga RM2.60 bagi RON95 yang perlu dibayar warga asing, katanya ia tidak terlalu membebankan malah masih berpatutan.

“Subsidi petrol adalah untuk rakyat Malaysia, dan bagi warga asing adalah normal untuk membayar harga yang lebih. Saya rasa pendekatan ini adil, saya setuju sepenuhnya dengan apa yang dilaksanakan kerajaan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar asing, Shueb Ibn Abbas, 42, dari China, mengakui penghapusan subsidi petrol kepada warga asing sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya. Namun, beliau berpendapat adalah tidak adil jika warga asing mempertikaikan langkah itu kerana ia hak yang sewajarnya dinikmati rakyat negara ini.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu juga menarik dan istimewa apabila kerajaan menyalurkannya kepada semua rakyat yang layak secara sistematik dan berperingkat, sekali gus mengelakkan sebarang gangguan teknikal.

“Rakyat tempatan beruntung dalam hal ini, mereka sepatutnya bersyukur menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Pelaksanaan penuh inisiatif BUDI95 bermula pada 12.01 tengah malam Selasa, menandakan langkah bersejarah, bukan sahaja kerana ia memberi manfaat terus kepada jutaan rakyat Malaysia, malah kerana pendekatannya yang lebih tersasar, telus dan kalis ketirisan.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 27 Sept dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad. 

Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding dengan harga pasaran semasa RM2.05 seliter, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 Sept hingga 8 Okt ini.