YTL Dan SEA Lancar Bank Dikuasakan AI Pertama Dunia, Ryt Bank

KUALA LUMPUR, 25 Ogos — YTL Group dan SEA Ltd telah melancarkan Ryt Bank — bank dikuasakan kecerdasan buatan (AI) pertama dunia yang menggabungkan teknologi maju dengan nilai-nilai, bahasa dan gaya hidup Malaysia.

Pengarah Urusan YTL Power International Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata Ryt Bank menjadi bukti bagaimana inovasi transformatif dapat diwujudkan, dibangunkan serta diterajui di Malaysia.

“Menerusi usaha menggabungkan AI dengan nilai serta kepelbagaian rakyat, kami telah mewujudkan sebuah bank yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia — bank yang menggunakan bahasa, memahami budaya negara ini serta menjadi penanda aras baharu dari segi penetapan piawaian pengalaman perbankan yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, aplikasi bank itu menyokong bahasa Malaysia dan Inggeris yang akan disusuli dengan penambahan bahasa Mandarin pada September 2025.

Menurut kenyataan itu, pendekatan pelbagai bahasa berkenaan juga dapat mengeratkan jurang antara budaya dan komuniti, memastikan pengurusan kewangan menjadi lebih mudah diakses, peribadi selain meningkatkan keselamatan dan rutin.

“Nadi Ryt Bank adalah Ryt AI, pembantu perbankan yang sentiasa ada dan dikuasakan oleh ILMU iaitu model bahasa besar pertama yang dibangunkan di Malaysia,” katanya.