ISTANBUL, 9 Mac — Tentera Iran pada Ahad mengesahkan seramai 104 anak kapal perang IRIS Dena terkorban, manakala 32 yang lain cedera dalam serangan Amerika Syarikat (AS) minggu lepas, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik laporan agensi berita rasmi Iran, IRNA, pihak tentera menyatakan bahawa kapal itu diserang oleh Tentera Laut AS pada 4 Mac di perairan Sri Lanka ketika dalam pelayaran pulang daripada latihan tentera laut Milan Peace 2026 di India.
Washington mengesahkan bahawa sebuah kapal selam Amerika telah melancarkan serangan torpedo ke atas kapal Iran berkenaan.
Sementara itu, Sri Lanka memaklumkan pihaknya melancarkan operasi menyelamat selepas menerima isyarat kecemasan daripada kapal itu di luar pantai selatan bandar Galle. Katanya, 32 anak kapal yang cedera telah dikejarkan ke hospital tempatan.
Serangan itu berlaku ketika AS dan Israel meneruskan serangan udara besar-besaran ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb lepas. Menurut pihak berkuasa Iran, serangan itu telah mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk Pemimpin Agung Ali Khamenei, selain mencederakan lebih 10,000 yang lain.
Tehran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel, Iraq, Jordan, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.













Tinggalkan Balasan