SINGAPURA, 18 April – Seramai 18,389 pengundi telah mendaftar sebagai pengundi luar negara bagi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025), menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) republik itu.
Daripada jumlah itu, seramai 9,759 akan mengundi melalui pos, manakala 8,630 memilih untuk mengundi secara fizikal di 10 pusat pengundian luar negara yang ditetapkan – Beijing, Canberra, Dubai, Hong Kong, London, New York, San Francisco, Shanghai, Tokyo dan Washington D.C.
London mencatat jumlah pengundi luar negara secara fizikal tertinggi dengan 2,470 orang berdaftar, diikuti Hong Kong (1,318) dan Shanghai (930).
Bahagian pilihan raya Tanjong Pagar pula merekodkan jumlah pengundi luar negara tertinggi iaitu seramai 1,703 orang.
“Rakyat Singapura di luar negara yang berjaya mendaftar akan menerima e-mel rasmi daripada ELD. Pemohon juga boleh menyemak status permohonan mereka melalui perkhidmatan atas talian ELD,” menurut kenyataan ELD pada Jumaat.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa pengundi luar negara yang pulang ke Singapura pada hari pengundian boleh mengundi di pusat pengundian tempatan yang ditetapkan, selagi mereka belum mengundi di luar negara.
Rakyat Singapura akan mengundi pada 3 Mei, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 23 April. Seramai 2,758,846 pengundi layak mengundi dalam PRU2025.
Tinggalkan Balasan