53 Hospital Di Iran Musnah Akibat Serangan AS-Israel

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mendedahkan sebanyak 53 hospital telah musnah di Iran sejak bermulanya serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Feb lepas.

Menurut Agensi Berita Mehr, diplomat tertinggi Iran itu menyatakan bahawa hospital-hospital berkenaan merupakan antara infrastruktur awam yang menjadi sasaran sepanjang konflik yang meletus susulan serangan berkenaan.

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa ketika musuh-musuh Iran menuduh negara itu menyerang kawasan kediaman dan orang awam tanpa bukti, mereka sendiri terus menyasarkan lokasi awam termasuk sekolah, hospital dan bangunan kediaman.

Merujuk kepada serangan ke atas Stadium Azadi di Tehran yang mengakibatkan kemalangan jiwa dalam kalangan komuniti sukan Iran, Araghchi menegaskan bahawa musuh Iran jelas mengabaikan norma antarabangsa dan sengaja menyasarkan kawasan orang awam.