WASHINGTON, 20 Jun — Majoriti rakyat Amerika Syarikat menolak penglibatan negara itu dalam konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran, menurut satu tinjauan yang dikeluarkan minggu ini.
Tinjauan oleh The Economist/YouGov mendapati hanya 16 peratus rakyat Amerika menyokong campur tangan ketenteraan oleh AS dalam konflik itu, manakala 60 peratus menentangnya dan 24 peratus lagi tidak pasti, lapor Anadolu Ajansi memetik kaji selidik itu.
Penolakan terhadap penglibatan AS dalam konflik itu turut merentasi batas parti politik, dengan 65 peratus Demokrat, 61 peratus pengundi Bebas dan 53 peratus Republikan menyatakan bantahan — mencerminkan penolakan dwipartisan yang meluas terhadap sebarang penglibatan ketenteraan.
Tinjauan itu dijalankan melibatkan 1,512 rakyat dewasa Amerika Syarikat, dengan margin ralat kira-kira tiga peratus.
Presiden AS Donald Trump pada Khamis berkata beliau akan membuat keputusan dalam tempoh dua minggu sama ada akan melancarkan serangan terhadap Iran atau sebaliknya.
“Berdasarkan kemungkinan besar rundingan dengan Iran yang mungkin atau mungkin tidak berlaku dalam masa terdekat, saya akan membuat keputusan sama ada untuk bertindak atau tidak dalam tempoh dua minggu,” kata Trump dalam kenyataan yang dibacakan oleh jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt.
Pengumuman itu dibuat ketika Trump berdepan perpecahan dalam kalangan penyokong Republikan sendiri berhubung persoalan sama ada beliau wajar menyertai kempen Israel menentang Iran.
Beberapa tokoh berpengaruh termasuk personaliti media Tucker Carlson, penasihat strategik Trump Steve Bannon, Senator Rand Paul dan Ahli Kongres Marjorie Taylor Greene memberi amaran agar Trump tidak melibatkan diri secara langsung dalam tindakan ketenteraan.
Ramai dalam kalangan mereka memberi amaran bahawa campur tangan ketenteraan secara langsung akan menyeret Trump ke kancah konflik asing yang memakan kos tinggi — sesuatu yang selama ini beliau tentang secara lantang ketika berkempen sebagai calon presiden.
Tinggalkan Balasan