8 Terbunuh, 55 Cedera Dalam Serangan Udara Israel Di Lubnan

ISTANBUL, 6 April — Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala 55 lagi cedera dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut dan timur laut ibu negara Lubnan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa tempatan.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan serangan Israel di kawasan kejiranan Jnah di pinggir selatan Beirut mengorbankan lima orang, termasuk seorang gadis berusia 15 tahun dan dua warga Sudan, serta mencederakan 52 yang lain.

Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan Israel menyasarkan kawasan bukit Ain Saadeh di daerah Metn, timur laut Beirut, mengorbankan tiga orang termasuk dua wanita, serta mencederakan tiga lagi, kesemuanya wanita.

Wartawan Anadolu melaporkan pesawat pejuang Israel melancarkan lapan serangan di seluruh pinggir selatan Beirut sejak pagi Ahad, menyasarkan kawasan kejiranan Rweiss, Bir Hassan, Musharrafieh dan Hay Madi selain Jnah.

Terdahulu pada Ahad, kementerian itu memaklumkan angka kematian akibat serangan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac telah meningkat kepada 1,461 orang, manakala 4,430 yang lain cedera.

Israel melancarkan serangan udara dan operasi darat di selatan Lubnan meskipun gencatan senjata berkuat kuasa pada November 2024.

Hizbullah pula melancarkan bedilan roket ke arah Israel sejak awal Mac dengan menyatakan serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel ke atas Lubnan serta pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan udara bersama AS-Israel pada 28 Feb.