OTTAWA, 18 Ogos — Air Canada pada Ahad mengumumkan bahawa syarikat itu menangguhkan rancangan untuk menyambung semula operasi penerbangan terhad pada malam yang sama selepas kru kabinnya enggan mematuhi arahan kerajaan supaya kembali bekerja, lapor Xinhua.
Kesatuan Pekerja Awam Kanada (CUPE) secara tidak sah mengarahkan pekerja mereka untuk mengingkari arahan Lembaga Perhubungan Perindustrian Kanada (CIRB) untuk kembali bekerja, kata syarikat penerbangan terbesar Kanada itu dalam satu kenyataan.
Air Canada memaklumkan penerbangan hanya akan disambung semula bermula malam Isnin.
Kira-kira 240 penerbangan yang dijadualkan beroperasi sejak petang Ahad telah dibatalkan.
Lazimnya, Air Canada bersama anak syarikatnya, Air Canada Rouge mengendalikan 700 penerbangan sehari, menurut syarikat itu.
Menteri Pekerjaan dan Keluarga Kanada, Patty Hajdu dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata beliau telah menggunakan kuasanya di bawah Kod Buruh Kanada untuk mengarahkan CIRB mengadili pertikaian antara Air Canada dan CUPE.
Walaupun rundingan telah dijalankan selama lapan bulan mengenai isu kenaikan gaji, bayaran kerja di darat, penambahbaikan pencen dan faedah, serta tempoh rehat kru yang lebih baik, Air Canada masih belum mencapai perjanjian sementara dengan CUPE.
Tinggalkan Balasan