GAZA, 14 Jan — Angka kematian akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 71,424 orang, manakala 171,324 lagi cedera sejak bermulanya serangan pada 7 Okt 2023, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Sumber perubatan melaporkan pada Selasa bahawa lima individu terkorban manakala enam lagi cedera dan dibawa ke hospital di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lepas.
Beberapa mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di jalanan berikutan pasukan ambulans serta penyelamat mengalami kesukaran untuk mengakses lokasi berkenaan.
Menurut sumber itu, jumlah keseluruhan kematian sejak gencatan senjata pada 10 Okt telah meningkat kepada 447 orang, dengan bilangan mangsa cedera mencecah 1,246 orang, manakala 697 mayat telah ditemukan.
Pihak perubatan turut melaporkan kematian seorang kanak-kanak berusia setahun akibat cuaca sejuk melampau, menjadikan jumlah kematian kanak-kanak berpunca daripada faktor cuaca sejak awal musim sejuk kepada tujuh orang.
Selain itu, tiga individu dilaporkan maut akibat bangunan runtuh, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam insiden seumpama itu kepada 24 orang.













Tinggalkan Balasan