ISTANBUL, 29 Julai — Sekurang-kurangnya 60,034 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, 113 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas, manakala 637 orang cedera, menjadikan jumlah keseluruhan kecederaan mencecah 145,870 orang sejak serangan Israel bermula.
“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di atas jalan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Kementerian juga memaklumkan, 22 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 199 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kematian ketika mencari bantuan meningkat kepada 1,179 orang, manakala lebih 7,957 cedera sejak 27 Mei.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus menghentikan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang mula berkuat kuasa pada Januari.
Sejak itu, 8,867 lagi terbunuh dan 33,829 cedera akibat serangan berterusan.
Tinggalkan Balasan