KUALA LUMPUR, 9 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Perdagangan Luar Luxembourg, Xavier Bettel di Seri Perdana, Putrajaya.
Dalam catatan di laman Facebook, Anwar berkata pertemuan itu membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Kami tekad untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, kewangan dan logistik,” katanya.
Selain itu, turut dibincangkan mengenai usaha meningkatkan kerjasama melalui rangka Kesatuan Eropah demi manfaat bersama.
Perdana Menteri berkata pertemuan itu turut menjadi medan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta situasi di Timur Tengah, khususnya Palestin.
Kunjungan Bettel ke Malaysia merupakan lawatan sulung beliau ke negara ini sejak dilantik ke jawatan itu pada 2023.
Tinggalkan Balasan