AS Bantu Tangani Kesesakan Trafik Perkapalan Di Selat Hormuz – Trump

WASHINGTON, 8 April — Amerika Syarikat (AS) akan membantu menangani kesesakan trafik perkapalan di Selat Hormuz, kata Presiden Donald Trump pada Rabu, susulan persetujuan gencatan senjata selama dua minggu yang baru dicapai dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Banyak perkembangan positif akan berlaku! Keuntungan besar akan diraih. Iran boleh memulakan proses pembinaan semula,” katanya menerusi platform Truth Social miliknya.

“Kami akan menyediakan pelbagai bekalan dan mengekalkan kehadiran di kawasan itu bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” tambah beliau.

Sebelum mengumumkan pada Selasa bahawa beliau bersetuju menangguhkan pengeboman dan serangan terhadap Iran selama dua minggu, Trump memberi tempoh kepada Iran sehingga pukul 8 malam Waktu Timur (0000 GMT Rabu) untuk membuka semula Selat Hormuz dan mencapai persetujuan atau berdepan serangan terhadap infrastruktur tenaganya.

Beliau menyifatkan detik itu sebagai potensi “Zaman Keemasan Asia Barat” dan memberi isyarat penglibatan berterusan AS bagi menjamin keselamatan laluan maritim penting berkenaan.

Ketegangan serantau semakin memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas yang setakat ini mengorbankan lebih 1,400 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS. Negara itu juga mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.