AS, Britain Meterai Perjanjian Perdagangan Pada Sidang Kemuncak G7

NEW YORK, 17 Jun — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer pada Isnin menandatangani perjanjian perdagangan semasa Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada, lapor Xinhua.

“Kami telah menandatanganinya dan ia kini dimuktamadkan,” kata Trump. Starmer pula berkata perjanjian itu akan melaksanakan persetujuan dua hala berkaitan tarif automotif dan aeroangkasa.

Rumah Putih turut mengeluarkan perintah eksekutif pada Isnin bagi melaksanakan terma umum perjanjian perdagangan yang diumumkan pada 8 Mei lepas.

Menurut perintah itu, AS akan menetapkan kuota kadar tarif tahunan sebanyak 100,000 buah kereta, dengan mengenakan tarif 10 peratus bagi import dalam kuota berkenaan. Sementara itu, import kereta yang melebihi kuota kadar tarif akan terus dikenakan tarif 25 peratus seperti yang ditetapkan dalam pengisytiharan pelarasan import kereta dan alat ganti bertarikh 26 Mac.

Import AS bagi alat ganti automotif buatan Britain untuk digunakan dalam kereta keluaran Britain akan dikenakan tarif 10 peratus, berbanding tarif 25 peratus yang ditetapkan dalam pengisytiharan yang disebutkan di atas.

Selain itu, AS memutuskan untuk mengecualikan pesawat awam British daripada penguatkuasaan pengisytiharan berkaitan keluli dan aluminium yang dikeluarkan pada 8 Mac serta perintah eksekutif bertarikh 2 April.

Trump telah mengarahkan Setiausaha Perdagangan AS untuk merangka dan menetapkan kuota kadar tarif bagi produk aluminium dan keluli serta produk terbitan yang dihasilkan di Britain pada masa hadapan.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda