VIENNA, 18 Jun — Kerajaan Austria merangka rancangan untuk mengetatkan undang-undang senjata api susulan insiden tembakan maut di sebuah sekolah di bandar kedua terbesar negara itu, Graz, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Canselor Christian Stocker pada Rabu berkata umur minimum untuk membeli jenis senjata api tertentu akan dinaikkan daripada 21 tahun kepada 25 tahun, manakala tempoh bertenang antara pembelian senjata pertama dan penghantarannya akan dilanjutkan daripada tiga hari kepada empat minggu.
Penilaian psikologi terhadap bakal pembeli senjata akan diberi lebih penekanan dan perkongsian data antara angkatan tentera dan pengawal selia senjata akan dipertingkatkan, kata Stocker.
Pindaan kepada undang-undang sedia ada ini diumumkan seminggu selepas seorang bekas pelajar menyerang sebuah sekolah menengah di tenggara bandar itu, mengorbankan sembilan remaja dan seorang guru sebelum membunuh diri.
Motif serangan masih belum jelas, tetapi siasatan mendedahkan yang penyerang berusia 21 tahun itu mengagumi orang yang melakukan tembakan ke atas sekolah.
Remaja itu pernah disahkan tidak stabil mentalnya semasa menjalani pemeriksaan perubatan untuk menyertai tentera, namun pihak berkuasa tidak dimaklumkan mengenai potensi ancaman itu.
“Sesiapa yang berbahaya tidak seharusnya memiliki senjata,” kata Timbalan Canselor Andreas Babler.
Kemungkinan untuk memiliki senjata dalam kategori tertentu pada usia 18 tahun bagaimanapun masih dikekalkan.
Individu masih boleh membeli senapang patah pada usia 18 tahun, manakala pemburu tidak terjejas oleh langkah baharu ini.
Menurut Stocker, bilangan pakar psikologi sekolah akan digandakan dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai langkah pencegahan terhadap kes seumpama itu.
“Pada masa hadapan, psikologi sekolah tidak boleh lagi menjadi pengecualian, sebaliknya menjadi kebiasaan,” kata Canselor.
Akses ke sekolah juga akan disusun semula, manakala kehadiran polis akan ditingkatkan menjelang akhir tahun persekolahan, kata Menteri Luar Beate Meinl-Reisinger.
Satu tabung pampasan berjumlah €20 juta (US$23 juta) akan ditubuhkan untuk membantu keluarga mangsa dan pihak sekolah.
Tinggalkan Balasan