SEOUL, 19 Julai — Peguam khas Korea Selatan yang menyiasat bekas Presiden Yoon Suk-yeol berhubung pelaksanaan undang-undang tentera secara singkat telah mendakwanya dengan pertuduhan tambahan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Cho Eun-suk, peguam bebas yang mengetuai siasatan berkenaan pemberontakan Yoon dan pertuduhan lain, mendakwa bekas presiden itu atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, menghalang keadilan, memalsukan dokumen rasmi, melanggar Akta Rekod Presiden dan beberapa salah laku lain.
Yoon didakwa kerana gagal mematuhi prosedur yang sewajarnya dalam pelaksanaan undang-undang tentera, mengarahkan perkhidmatan keselamatan presiden menyekat usaha untuk menangkapnya pada Januari dan mengeluarkan arahan untuk memadam maklumat pada telefon keselamatan yang diberikan kepada pegawai tentera.
Waran tangkap terhadap Yoon, yang dipohon pasukan peguam khas yang memulakan siasatan pada 18 Jun, telah dikeluarkan sembilan hari lebih awal kerana dikhuatiri beliau akan memusnahkan bukti.
Yoon ditahan di pejabat presiden pada 15 Jan dan mula ditahan secara rasmi pada 26 Jan, namun dibebaskan pada 8 Mac selepas pihak pendakwa raya memutuskan untuk tidak merayu keputusan mahkamah yang membenarkan pembebasannya.
Mahkamah Perlembagaan sebelum ini meluluskan usul pemecatan Yoon pada 4 April berikutan cubaan pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal pada Disember lalu, sekali gus menggugurkan beliau secara rasmi daripada jawatan presiden.
Tinggalkan Balasan