Berwaspada pada Bahaya Kecenderungan Jepun Bangkitkan Militarisme – Menteri Luar China

Menteri Luar China, Wang Yi menggesa kewaspadaan terhadap bahaya kecenderungan Jepun semasa menyampaikan ucapan pada sesi “China in the World” dan sesi tanya jawab sempena berlangsungnya Persidangan Keselamatan Munich di Jerman pada hari Sabtu.

Wang berkata, Perdana Menteri Jepun tidak lama dahulu secara terang-terangan berkata bahawa sebarang peristiwa yang berlaku di Selat Taiwan boleh disifatkan sebagai “situasi yang mengancam kelangsungan hidup” Jepun dan negaranya akan melaksanakan hak pertahanan diri kolektif.

“Ini adalah kali pertama dalam 80 tahun pasca perang dunia kedua, terdapat seorang perdana menteri Jepun yang secara terang-terangan membuat kenyataan yang begitu agresif dan secara langsung mencabar kedaulatan negara China, serta orde antarabangsa pasca-perang yang sudah mengesahkan kedudukan Taiwan di bawah naungan China.

“Kenyataan itu juga bertentangan dengan komitmen politik yang dibuat Jepun terhadap China. 

“Kerajaan China, beserta 1.4 bilion rakyat China pasti akan menolak kenyataan Jepun tersebut,” kata Wang.

Wang Yi menekankan, kenyataan salah pemimpin Jepun tersebut menunjukkan bahawa Jepun masih mempunyai andaian untuk mengeksploitasi dan menjajah Taiwan, dan negaranya sudah dihantui kecenderungan militarisme yang kian membangkit.

“Jepun pernah melancarkan pencerobohan terhadap China dan menyerang Pearl Harbor AS, justeru atas alasan apa yang disebut ‘situasi yang mengancam kelangsungan hidup’pada masa lalu.   

“Rakyat Jepun perlu diingatkan supaya tidak sekali lagi terpedaya dan terkawal oleh kuasa kanan ekstrem dan ideologi ekstrem.

“Semua negara yang mencintai keamanan juga perlu memberi amaran kepada Jepun: jika cuba menempuh jalan yang sama, jalan itu hanya akan menjadi satu jalan buntu saja yang akan dinoktahkan dengan kehancuran. Jika mahu menjadikan nasib negaranya sebagai taruhan sekali lagi, negara Matahari Terbit hanya akan mengalami kekalahan dengan lebih cepat dan lebih teruk!” kata Wang.