China, AS Capai Sedikit Sebanyak Persepakatan dalam Perundingan Ekonomi dan Perdagangan

China dan Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan perundingan yang terbuka, mendalam, dan membina di Paris, Perancis pada Ahad dan Isnin waktu tempatan, sehingga mencapai sedikit sebanyak konsensus mengenai sejumlah topik, dan menyatakan akan meneruskan proses perundingan itu.

Demikian dinyatakan Perunding Perdagangan Antarabangsa China yang juga Naib Menteri Perdagangan, Li Chenggang. 

Li berkata, isu-isu yang dibincangkan antara Beijing dengan Washington termasuk pelaksanaan tarif di pihak masing-masing, dan kemungkinan melanjutkan gerak kerja yang berkaitan dengan tarif bilateral serta langkah-langkah berkenaan yang tidak berkaitan tarif. 

Sementara itu, perunding dari pihak AS turut berkongsi pelaksanaan tarif yang baru disusun di negaranya, dan pertimbangan untuk fasa seterusnya.

Sehubungan dengan itu, Li Chenggang menyatakan bahawa China menumpukan perhatian terhadap ketidakpastian yang akan ditimbulkan oleh perkara itu. 

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala dan membincangkan idea untuk menubuhkan mekanisme menggalakkan kerjasama perdagangan dan pelaburan bilateral,” kata Li.

“Menyentuh langkah-langkah sekatan perdagangan dan pelaburan yang dikenakan oleh pihak Washington ke atas Beijing, terutamanya dua siasatan yang dilancarkannya berturut-turut di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, China telah mengetengahkan persoalan dan menyatakan keprihatinan dalam rundingan terbabit,” tambah beliau.