China Bakal Lancarkan Prob Chang’e-7 Tinjau Kutub Selatan Bulan Tahun Ini

China akan meneruskan penyelidikan dan pembuatan prob Chang’e-7 dan kemudian melancarkannya menuju ke Kutub Selatan Bulan buat julung kali untuk mencari bukti kewujudan air beku. 

Demikian dinyatakan seorang penyelidik dari Institut No.5 Kumpulan Teknologi Aeroangkasa China, Sun Zezhou. 

Beliau yang juga merupakan wakil Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China memaklumkan, misi Chang’e-7 adalah untuk mengkaji persekitaran permukaan di Kutub Selatan Bulan dan air beku yang wujud dalam tanah Bulan, serta menjalankan penerokaan dan kajian berketepatan tinggi mengenai morfologi, komposisi dan struktur Bulan.

Dimaklumkan lagi, “penjelajahan angkasa lepas jauh” telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 109 projek mega dalam draf kerangka Rancangan Lima Tahun Ke-15 (2026-2030) Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China.

Sun berkata, sebagai sebahagian dalam pelaksanaan projek tinjauan terhadap planet, China akan melancarkan prob Tianwen-3 untuk mengambil sampel dari Marikh dan melakukan tinjauan terhadap persekitaran planet itu.

Sementara itu, prob Tianwen-4 juga akan dilancarkan untuk mengadakan kajian terhadap Musytari dan satelitnya, serta melalukan tinjauan terhadap ruang dan struktur dalaman Musytari.

Untuk rekod, China pernah mengorak selangkah yang signifikan dalam pelaksanaan projek “penjelajahan angkasa lepas jauh” pada tahun 2025, iaitu menjayakan misi prob Tianwen-2 yang ditugaskan untuk kali pertama melakukan tinjauan terhadap asteroid 2016HO3 dan mengambil sampel yang berkenaan dari asteroid itu sebelum kembali ke Bumi dengan selamat.