China, Britain Ikrar Perkasa Kerjasama Ekonomi

Menteri Perdagangan China Wang Wentao mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Britain bagi Perniagaan dan Perdagangan, Jonathan Reynolds di London pada Isnin.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan mesyuarat ke-14 Suruhanjaya Ekonomi dan Perdagangan Bersama China-Britain seawal mungkin serta menggalakkan kerjasama praktikal dalam pelbagai sektor.

Dalam pertemuan itu, Wang berkata sebagai rakan kongsi utama bagi satu sama lain, China dan Britain harus menyelesaikan perbezaan pendapat melalui rundingan, mencungkil potensi menerusi dialog, di samping memperkasa kerjasama dalam bidang seperti pembangunan lestari, ekonomi digital, ekonomi hijau dan kewangan.

China komited terus memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan mengalu-alukan syarikat Britain datang melabur dan mengembangkan urus niaga di negara Tembok Besar.

Tambah beliau, selaku anggota penting Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), China dan Britain harus berdiri teguh menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang berteraskan WTO.

Sementara itu, Reynolds menzahirkan kesediaan pihaknya untuk memperkasa perdagangan dua hala dengan China, khususnya membabitkan dagangan perkhidmatan. 

Syarikat China dialu-alukan untuk terus menanam modal di Britain, kata beliau sambil meluahkan harapan supaya dua negara bersinergi membina hubungan ekonomi dan perdagangan yang lebih stabil, pragmatik dan boleh diramal.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda