China Janji Tawarkan Lebih Banyak Insentif Dasar untuk Syarikat Asing

China akan terus mengoptimumkan iklim perniagaan dan menawarkan lebih banyak insentif dasar kepada syarikat asing, kata jurucakap Kementerian Luar Lin Jian dalam sidang media pada Selasa.

Dilaporkan, Dewan Perniagaan Denmark di China dan Dewan Perniagaan Jerman di China menyatakan syarikat Eropah mempunyai motivasi tinggi untuk terus melabur di China. 

Pada pandangan mereka, teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pemanduan autonomi merupakan antara bidang kerjasama yang boleh diteroka.

Sementara itu, tinjauan terkini yang dijalankan Dewan Perniagaan Amerika Syarikat (AS) di China menunjukkan majoriti syarikat negara itu tiada rancangan untuk keluar dari pasaran China.

Lin berkata hal ini mencerminkan dunia menghargai unsur kestabilan dan kepastian yang dibawa oleh pembangunan berkualiti tinggi dan keterbukaan bertaraf tinggi China.

Menurut beliau, terdapat  lebih 73,000 syarikat asing yang menjana nilai import dan eksport di China dalam lima bulan pertama tahun ini, sekali gus mencipta rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Ujarnya, syarikat asing mempergiatkan pelaburan terhadap kuasa produktif kualiti baharu dan menyertai usaha inovasi China kerana wujudnya permintaan pasaran yang besar terhadap industri baharu dan format perniagaan baharu. 

Ia juga susulan China mempunyai kelebihan istimewa dengan rantaian perindustrian dan bekalan yang lengkap, sumber manusia yang kaya serta ekosistem inovasi yang matang.

Kini, semakin banyak syarikat asing memilih menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China sebelum memperkenalkan produk mereka kepada dunia.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda