China Kesal Perang Habis-habisan ke atas Gaza Susulan Gencatan Senjata Terjejas

Situasi Palestin-Israel berada dalam perhatian China sejak sekian lama. Selain mengutuk serangan udara besar-besaran yang menyasarkan semenanjung Gaza sehingga mengakibatkan beratus-ratus orang awam kehilangan nyawa baru-baru ini, China berasa kesal kerana terjejasnya gencatan senjata yang tidak datang dengan mudah.

Demikian dikatakan Wakil Tetap China ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan organisasi antarabangsa lain di Switzerland, Chen Xu, pada sesi ke-58 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada 26 Mac.

Chen menyatakan, perkara yang paling mendesak buat masa sekarang adalah mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk dan mencegah daripada berlakunya bencana hak asasi manusia serta kemanusiaan yang lebih serius. Pihak penakluk harus memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, serta-merta memulihkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza secara menyeluruh, dan memastikan hak asasi manusia rakyat Palestin dihormati dan terjamin.

“China dengan tegas membantah sebarang  rancangan atau tindakan yang secara paksa memindahkan rakyat Gaza.

“Jalan keluar bagi isu Palestin mesti kembali ke landasan ‘Penyelesaian Dua Negara’. China menyokong perjuangan yang adil rakyat Palestin untuk mendapatkan semula hak  dan kedaulatan bangsa, manakala bersedia bersama-sama masyarakat antarabangsa konsisten dalam memperjuangkan usaha untuk mencapai pendekatan menyeluruh, adil dan berkekalan mengenai isu Palestin berasaskan ‘Penyelesaian Dua Negara’,” tambah Chen.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda