China ialah sebuah negara besar yang bertanggungjawab dan juga sahabat sejati kepada negara-negara di rantau Asia Barat. Asas dasar luar China terhadap Asia Barat adalah mempromosikan persefahaman dan keamanan serantau. Selagi konflik masih berterusan, China tidak akan berhenti melakukan usaha pengantaraan di rantau itu.
Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian ketika mengulas mengenai lawatan utusan khas kerajaan China bagi isu Asia Barat Zhai Jun, dalam sidang akhbar di Beijing pada Khamis.
Lin menyatakan bahawa utusan khas Zhai Jun baru-baru ini telah melakukan lawatan ke beberapa negara di Asia Barat. Beliau mengadakan pertemuan dengan menteri luar dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait dan Mesir, Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Liga Arab, serta mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Qatar, untuk bertukar-tukar pendapat mengenai situasi serantau.
Semasa lawatannya, Zhai Jun menjelaskan pendirian China berhubung situasi semasa di Asia Barat, menekankan pentingnya penyelesaian pertikaian melalui pendekatan damai, di samping menggesa pihak-pihak terlibat agar segera menamatkan peperangan demi mengelakkan situasi daripada terus meruncing.
Zhai juga menegaskan bahawa prinsip dan tujuan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dipertahankan, manakala kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah negara-negara GCC perlu dihormati sepenuhnya, sasaran bukan ketenteraan tidak boleh diserang, dan keselamatan laluan perkapalan di laut tidak boleh diganggu.
Lin Jian menambah bahawa pihak-pihak tersebut memuji China yang menjunjung keadilan dan usaha aktifnya dalam mempromosikan perdamaian, serta berharap China akan memainkan peranan yang lebih besar pada masa akan datang.













Tinggalkan Balasan