BEIJING, 18 Ogos — China melanjutkan siasatan anti-subsidi terhadap produk tenusu Kesatuan Eropah (EU) berikutan kerumitan kes itu, menurut Kementerian Perdagangan pada Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.
Kajian semula yang sepatutnya tamat minggu ini kini akan diteruskan sehingga 21 Februari 2026. Produk yang disiasat termasuk beberapa jenis keju, segar dan yang telah diproses.
Siasatan itu dilancarkan pada Ogos 2024 dan dilihat secara meluas sebagai tindak balas terhadap tarif punitif EU ke atas kenderaan elektrik buatan China.
Ini bukan satu-satunya langkah balas Beijing dalam pertikaian perdagangan itu, eksport arak brandi dan daging babi dari EU turut menjadi sasaran siasatan China.
Beijing mendakwa Brussels melanggar peraturan perdagangan antarabangsa dengan mengenakan duti tambahan ke atas kenderaan elektrik.
Suruhanjaya Eropah pula menegaskan tarif terbabit wajar dikenakan kerana apa yang dianggapnya sebagai subsidi berlebihan kepada pengeluar China. China menolak dakwaan itu dan mengecam langkah EU sebagai bersifat perlindungan.
Tinggalkan Balasan