YINCHUAN, 2 April — Sebanyak 26 projek kerjasama bernilai 495 juta yuan (kira-kira US$72 juta) telah dimeterai semasa Dialog Perniagaan China-Malaysia Jalur dan Laluan Keenam yang bermula pada Khamis di Yinchuan, ibu kota Wilayah Autonomi Ningxia Hui di barat laut China, lapor Xinhua.
Perjanjian itu yang merangkumi bidang seperti pelaburan ekonomi dan perdagangan serta pertanian moden, melambangkan pengembangan ketara dalam hubungan ekonomi dua hala.
Acara itu menarik penyertaan lebih 200 wakil kerajaan dan perniagaan dari kedua-dua negara bagi membincangkan usaha memperdalam kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dengan fokus khusus terhadap ekonomi dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, kebudayaan serta pelancongan.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama beberapa tahun berturut-turut. Sejak kebelakangan ini, perkongsian itu telah berkembang daripada pertukaran komoditi standard kepada sinergi industri yang lebih mendalam dan rantaian bekalan bersepadu.
Dalam ucapan perasmiannya, Timbalan Ketua Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Ma Hui menyifatkan dialog itu sebagai platform penting bagi pertukaran antara parti China dan Malaysia serta untuk memajukan kerjasama ekonomi pragmatik. Beliau turut menggesa kedua-dua pihak supaya merebut peluang semasa bagi memperkukuh hubungan sedia ada.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Chang Lih Kang berkata dialog itu menyediakan kestabilan penting di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global. Beliau turut menekankan potensi usaha sama dalam peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI), sambil menyatakan bahawa institusi akademik AI di Malaysia telah mendapat manfaat besar daripada kepakaran China.
Dialog itu turut mengetengahkan peranan antarabangsa Ningxia yang semakin berkembang sebagai zon perintis ekonomi terbuka di pedalaman. Malaysia kini merupakan pasaran eksport terbesar bagi barangan pertanian wilayah itu, dengan permintaan stabil terhadap sayur-sayuran iklim sejuk, buah goji dan kentang sejuk beku.
Hubungan kebudayaan juga dilihat semakin rancak. Pada tahun 2025, jumlah pelancong Malaysia yang bermalam di Ningxia melonjak sebanyak 207.7 peratus tahun ke tahun, menjadikan Malaysia sebagai sumber utama pelawat antarabangsa ke wilayah berkenaan.
Acara berkenana dianjurkan bersama oleh Pusat Kerjasama Ekonomi China, Majlis Perniagaan Malaysia-China dan Pejabat Hal Ehwal Luar Wilayah Ningxia.













Tinggalkan Balasan