BEIJING, 18 Jun — China memindahkan hampir 800 orang warganya dari Iran susulan konflik yang sedang berlangsung dengan Israel, menurut kenyataan Beijing pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Lebih 1,000 rakyat China yang lain sedang dalam perjalanan untuk dipindahkan, kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.
Kedutaan China di negara jiran seperti Azerbaijan dan Turkmenistan membantu rakyat China memasuki negara berkenaan dan meninggalkan rantau itu.
Misi diplomatik China di Israel dan Iran menasihati rakyatnya agar meninggalkan negara itu secepat mungkin berikutan situasi yang semakin tegang.
Guo mengesahkan yang sebahagian rakyat China sudah meninggalkan Israel. Tiada laporan mengenai rakyat China yang cedera atau menjadi mangsa, katanya.
Presiden China Xi Jinping, melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan akibat serangan Israel ke atas Iran, lapor agensi berita Xinhua.
Beliau menyeru semua pihak agar mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan selanjutnya.
China bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memulihkan kestabilan di Timur Tengah, katanya.
Serangan di Timur Tengah kini berlarutan memasuki hari keenam.
Tinggalkan Balasan