China Sudi Bersama Afrika Melangkah Menuju Modenisasi: MFA

China kekal bersikap terbuka dan mengalu-alukan negara dari benua Afrika memanfaatkan peluang dijana pembangunan negara Tembok Besar dan bersama-sama melangkah menuju ke arah modenisasi.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) Mao Ning berkata demikian sewaktu berkongsi butiran lanjut mengenai hasil lawatan Menteri Luar Wang Yi ke Afrika, dalam taklimat harian di Beijing pada Selasa.

Beliau memetik kenyataan Wang Yi sebagai berkata, lawatan itu menandakan tahun ke-36 berturut-turut bagi diplomat tertinggi China menjadikan Afrika sebagai destinasi pertama yang dilawati pada awal tahun baharu.

Kunjungan berkenaan merupakan cerminan keakraban ikatan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama antara rakyat China dengan Afrika.

Mao menyatakan bahawa China akan terus menjadi enjin pertumbuhan global, dan bersedia berperanan sebagai pemangkin bagi pembangunan Afrika. 

Dasar tarif sifar yang acap kali disebut oleh pihak Afrika merupakan antara simbolik kejayaan kolaborasi China-Afrika pada era baharu, dan juga inisiatif penting yang diambil China untuk memperluas keterbukaan secara sepihak.

Ia memperlihatkan kesudian China untuk menggalas lebih banyak tanggungjawab antarabangsa, kata Mao sambil menambah bahawa negara Tembok Besar komited memantapkan keterbukaan pada tahap lebih tinggi dan memastikan pasaran besar mencipta peluang kepada Afrika.