China, Vietnam Sedia Tingkatkan Kerjasama, Dorong Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib Asia-Pasifik

China bersedia meningkatkan kerjasama pragmatik dan koordinasi pelbagai hala dengan Vietnam, demi mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib Asia-Pasifik.

Demikian dikatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Le Hoai Trung di Hanoi, pada Ahad.

Wang Yi menyatakan bahawa China dan Vietnam merupakan entiti ekonomi baru muncul yang penting, manakala pembangunan kedua-dua negara ini akan menyediakan pengalaman berharga kepada negara-negara membangun lain. 

Beliau berkata, China bersedia bersama-sama Vietnam untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, memperkukuh kerjasama pragmatik, mempergiat pertukaran kebudayaan, selain menangani isu maritim dengan baik.

Dalam pertemuan itu, Le Hoai Trung berkata, Vietnam bersedia memperkasakan kerjasama pragmatik dengan China dalam sektor perdagangan, pelaburan, pembangunan hijau dan kesalinghubungan, bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan di laut, serta mempromosikan pembinaan komuniti berkongsi nasib Vietnam-China.

Beliau juga menegaskan bahawa Vietnam dengan teguh mengamalkan dasar satu negara China, di samping menzahirkan sokongan negara itu terhadap pendirian kerajaan China dalam isu Xinjiang dan Xizang.