CMG Lancar Forum Media ‘Tadbir Urus Global, Tindakan Belia’ di Johannesburg

Forum media ‘Tadbir Urus Global, Tindakan Belia’ anjuran Kumpulan Media China (CMG) berlangsung di Johannesburg, Afrika Selatan pada Selasa.

Presiden CMG Shen Haixiong menerusi ucapan bertulis berkata pihaknya akan memanfaatkan kelebihan penyiaran antarabangsa meliputi 85 bahasa, platform Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) dan 192 stesen luar negara untuk menceritakan kisah golongan muda dari seluruh dunia yang berganding bahu maju bersama.

Usaha berkenaan juga akan membantu belia global meningkatkan persefahaman antara satu sama lain dan membina konsensus menerusi pertukaran idea yang mendalam serta berkongsi peluang pembangunan, ujar beliau.

Sementara itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC) Nkosazana Dlamini-Zuma menegaskan bahawa golongan belia merupakan pemangkin kepada inovasi dan kemajuan. 

Beliau berkata hanya dengan usaha membangunkan aspek pendidikan, mendorong revolusi teknologi dan memperkasa kerjasama antarabangsa, barulah dapat memastikan golongan muda menjadi peserta dan penerima manfaat dalam tadbir urus dan pembangunan global.

Semasa sesi interaksi, para peserta turut mengadakan perbincangan secara mendalam berkisarkan pelbagai topik antaranya peranan belia dalam tadbir urus global, pemerkasaan kerjasama China-Afrika dipacu inovasi digital dalam usaha mencapai pemodenan, serta keusahawanan belia China-Afrika dan pembangunan mampan.