CMG Perkenal Pengisian Gala TBC 2026

Kumpulan Media China (CMG) mengadakan sidang media di Beijing pada Rabu bagi memperkenalkan pengisian program Gala Tahun Baharu Cina (TBC) serta pelbagai teknologi inovatif yang digunakan dalam pembikinan temasya budaya itu.

Diinspirasikan daripada budaya tradisional dan seni kontemporari, Gala TBC 2026 diisi dengan pelbagai pengisian menarik antaranya nyanyian, tarian, opera, pertunjukan silap mata dan lain-lain, bertujuan mewujudkan suasana perayaan yang ceria, hangat dan meriah bersempena sambutan Tahun Kuda.

Bergelar ‘Gala Rakyat’, temasya budaya tahun ini menjanjikan pengalaman menonton yang imersif dan mendebarkan buat penonton menerusi penyerapan teknologi penyiaran definisi ultra tinggi 8K, audio hidup dan kandungan dijana kecerdasan buatan (AIGC).

Selain itu, gala versi mesra orang kelainan upaya (OKU) akan pertama kalinya bersiaran menerusi saluran televisyen CCTV-15, dengan diiringi bahasa isyarat dan sari kata yang dijana oleh AI.

Gala TBC 2026 akan disiarkan di pelbagai platform, termasuk saluran 4K Ultra HD dan saluran 8K Ultra HD serta media baharu seperti CCTV News pada pukul 8 malam, 16 Februari.

Secara antarabangsa, saluran bahasa asing di bawah Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) akan bekerjasama dengan lebih 3,300 media dari 200 negara dan wilayah untuk menyiarkan dan melaporkan tentang gala itu.