Datuk Bandar Los Angeles Umum Perintah Berkurung Di Pusat Bandar

WASHINGTON, 11 Jun — Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass mengumumkan perintah berkurung di beberapa kawasan di bandar itu susulan protes yang sedang berlangsung, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Saya ingin memaklumkan kepada penduduk bahawa saya mengisytiharkan darurat dan mengeluarkan perintah berkurung di pusat bandar Los Angeles untuk menghentikan vandalisme dan rompakan,” kata Bass pada sidang media malam Selasa, menurut laporan The Los Angeles Times.

Perintah berkurung itu akan bermula Selasa dari 8 malam hingga 6 pagi, tetapi tidak akan terpakai kepada individu yang tinggal dalam kawasan yang ditetapkan.

“Saya mengeluarkan perintah berkurung bermula 8 malam ini di Pusat Bandar Los Angeles untuk menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab yang memanfaatkan kekacauan akibat tindakan Presiden.

“Jika anda tidak tinggal atau bekerja di Pusat Bandar L.A., elakkan kawasan itu. Polis akan menangkap individu yang melanggar perintah berkurung dan mereka akan didakwa,” kata Bass menerusi hantaran di X.

Perintah berkurung itu meliputi kawasan seluas satu batu persegi di pusat bandar Los Angeles, dari Lebuh Raya 5 ke Lebuh Raya 110, dan dari Lebuh Raya 10 ke kawasan pertemuan Lebuh Raya 110 dan Lebuh Raya 5, katanya.

Datuk Bandar itu menjangkakan perintah berkurung akan berkuat kuasa selama beberapa hari. Bagaimanapun, keputusan untuk menamatkan perintah itu belum dibuat.

Terdahulu, serbuan oleh Agensi Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) bagi mengenal pasti pendatang tanpa izin di pusat bandar Los Angeles pada 7 Jun telah mencetuskan pertembungan dengan penunjuk perasaan.

Pada hari sama, Gabenor California Gavin Newsom memberi amaran bahawa negeri itu mungkin enggan membayar cukai persekutuan sebagai reaksi terhadap kemungkinan pemotongan besar peruntukan kerajaan persekutuan oleh pentadbiran Trump.

Keesokan harinya, Rumah Putih mengumumkan penempatan 2,000 anggota Pengawal Kebangsaan ke bandar itu.

Susulan langkah itu, Newsom secara rasmi meminta supaya keputusan itu dibatalkan, mendakwa Rumah Putih mencetuskan rusuhan dan menegaskan pihak berkuasa negeri dan bandar tidak mengalami masalah sebelum campur tangan Presiden.

Menurut Bass, lebih 100 orang ditahan semasa protes yang berlarutan sepanjang malam Isnin hingga Selasa.

Seorang wartawan RIA Novosti melaporkan pada Selasa bahawa penunjuk perasaan berarak secara aman di pusat bandar Los Angeles, dan tiada campur tangan dari pilhak polis.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda