Dialog Global “Inovasi, Keterbukaan dan Kongsi Pembangunan” Berlangsung di Lagos

Dialog Global “Inovasi, Keterbukaan dan Kongsi Pembangunan” Sesi Khas Nigeria yang dianjurkan secara bersama oleh Kumpulan Media China (CMG) dan Konsulat Jeneral China di Lagos, Nigeria secara rasmi membuka tirai.

Presiden CMG, Shen Haixiong dan Menteri Pembangunan Belia Nigeria, Ayodele Olawande turut menyampaikan ucapan menerusi video.

Menurut Shen, hasil tinjauan global yang dilakukan China Global Television Network (CGTN) menunjukkan bahawa lebih daripada 84 peratus responden berpendapat China merupakan sebuah negara yang berjaya, manakala 86.4 peratus responden pula memperakui sumbangan besar ekonomi China terhadap pembangunan global. 

Justeru, dapat dilihat di bawah bimbingan pelan pembangunan baharu, China akan konsisten dalam melaksanakan dasar ‘pintu terbuka’, di samping membawa lebih banyak peluang dan manfaat yang bersifat menang-menang kepada dunia, kata Shen.

Pada masa sama, beliau berkata CMG akan bersama-sama dengan rakan kerjasama untuk membina platform global bagi menjana impak sosial dalam pelaksanaan “Empat Inisiatif Global” dan berkongsi “Penyelesaian China” dalam tadbir urus global.

Ini juga termasuk prospek luas modenisasi ala China dan motivasi inovatif China dalam era baharu dengan dunia.

Sementara itu, Ayodele Olawande pula berkata pembangunan China telah membuktikan bahawa memperkasa golongan muda bermakna membentuk masa depan.

Ujarnya, falsafah berkenaan selaras dengan agenda “Menghidupkan Kembali Harapan” yang sedang dilaksanakan di Nigeria. 

Dalam tempoh lima tahun yang lalu, golongan belia Nigeria telah mendapat manfaat melalui biasiswa, latihan teknikal dan program pertukaran yang disediakan oleh China.

Kerjasama yang produktif telah menyumbang secara signifikan kepada persefahaman dan kepercayaan antara kedua-dua negara.

Menurut Ayodele, pihaknya bersedia untuk meningkatkan kerjasama dengan pihak berkepentingan di China bagi meneroka dengan lebih mendalam skop pertukaran dan kerjasama melibatkan golongan belia sekali gus dapat mendorong hubungan Nigeria-China ke tahap yang lebih tinggi.