Dialog menteri luar trilateral edisi keenam antara China, Afghanistan dan Pakistan berlangsung di Kabul pada Rabu.
Sesi dialog itu dihadiri Menteri Luar China Wang Yi, Menteri Luar Afghanistan Mawlawi Amir Khan Muttaqi serta Timbalan Perdana Menteri Pakistan merangkap Menteri Luar Mohammad Ishaq Dar.
Wang berkata China, Afghanistan dan Pakistan perlu memperkasa kerjasama dalam aspek pembangunan, memperluas pertukaran melibatkan sektor perdagangan dan pelaburan, mengukuhkan pembinaan rangkaian kesalinghubungan serta meningkatkan persefahaman sesama rakyat.
Beliau turut menekankan keperluan menambah baik mekanisme dialog keselamatan, selain memperkasa kerjasama dari segi penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan.
Ini termasuk mempergiat usaha membanteras jenayah rentas sempadan serta menangani punca fahaman keganasan melalui langkah bersepadu berdasarkan kesepakatan yang telah dicapai.
Sementara itu, Muttaqi menzahirkan harapan agar Afghanistan dapat memanfaatkan dialog kali ini untuk memperkukuh jalinan persahabatan dan meningkatkan penyelarasan sehingga membawa kemajuan lebih besar dalam kerjasama ketiga-tiga negara.
Dar pula menyifatkan kerjasama terjalin antara China, Afghanistan dan Pakistan mempunyai potensi yang amat besar.
Ujarnya, ketiga-tiga negara perlu bersinergi untuk menggalakkan perkongsian, memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kesalinghubungan serta pembanterasan keganasan demi merealisasikan pembangunan bersama.
Tinggalkan Balasan