Diplomasi Makanan Memikat Rakyat Kemboja Menjelang VM2026

PHNOM PENH, 22 Jun — Malaysia menambah satu lagi daya tarikan kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang bercita-cita tinggi dengan memperkenalkan pelbagai hidangan terbaiknya di ibu negara Kemboja pada Sabtu.

Tourism Malaysia menganjurkan pesta gastronomi istimewa bagi mempromosikan warisan kulinari negara menerusi “Malaysia Food and Culture Fest 2025” pada petang ketika hujan lebat di Phnom Penh.

Berlangsung di kawasan pejalan kaki hujung minggu yang baru dibuka di sepanjang kawasan tepi sungai popular, pesta makanan selama dua hari itu berjaya memikat warga kosmopolitan Phnom Penh yang terkenal dengan kepelbagaian  kulinari antarabangsa yang meriah hasil usaha warga asing yang menetap di ibu negara itu.

Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu, Duta Besar Malaysia ke Kemboja Shaharuddin Onn berkata budaya makanan masyarakat berbilang kaum negara amat penting dalam membentuk identiti dan perpaduan Malaysia.

“Malaysia memiliki gabungan unik masyarakat pelbagai etnik yang indah dengan pelbagai perayaan, tradisi, bahasa dan adat resam yang hidup bersama sebagai sebuah keluarga besar.

“Semangat faham pelbagai budaya inilah yang kongsi bersama Kemboja. Pesta makanan ini adalah cerminan hati dan jiwa Malaysia,” katanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengetuai delegasi Malaysia ke Kemboja dari 18 hingga 22 Jun 2025 bagi mengukuhkan hubungan pelancongan dan meningkatkan momentum ekonomi menjelang VM2026. Menteri Pelancongan Kemboja Huot Hak merupakan tetamu khas pada acara itu.

Kira-kira 30 pengusaha makanan dan minuman Malaysia dan peniaga Malaysia yang beroperasi di Phnom Penh turut mengambil bahagian dalam acara berwarna-warni itu.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda