Dokumentari CMG L.E. HUDEC Dilancar di Slovakia

Dokumentari terbitan Kumpulan Media China (CMG), L.E. HUDECdilancarkan dalam satu majlis yang berlangsung di Bratislava, ibu negara Slovakia pada Isnin.

Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh CMG, Kedutaan Besar China di Slovakia dan Kementerian Kebudayaan Republik Slovakia.

Dokumentari itu menceritakan kisah arkitek Hungary, Ladislav Hudec yang dilahirkan di Banska Bystrica, Slovakia dan menetap di Shanghai pada 1918 hingga 1947.

Presiden CMG Shen Haixiong menerusi ucapan video menyifatkan Hudec sebagai individu yang menyaksikan persahabatan antara China dengan Slovakia. 

Shen berkata pada masa itu, Hudec memilih untuk tinggal di Shanghai dan membawa sinar harapan kepada masyarakat setempat melalui estetika seni bina yang direka bentuk beliau.

Dihasilkan oleh China Central Newsreel and Documentary Film Studio (Group) di bawah CMG, dokumentari berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha CMG untuk menggalakkan pertukaran budaya China-Slovakia.

Difahamkan, dokumentari versi bahasa Slovak itu akan disiarkan di saluran kedua televisyen nasional Slovakia pada waktu perdana bermula 28 September hingga 26 Oktober.