Dua Cedera Ditembak Termasuk Anggota Polis Di New York City

WASHINGTON, 29 Julai — Sekurang-kurangnya dua orang cedera termasuk seorang anggota polis dalam insiden tembakan di New York City pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media tempatan.

Kejadian berlaku di hadapan bangunan 345 Park Avenue, berhampiran East 52nd Street di Midtown Manhattan.

Pesuruhjaya Polis New York City, Jessica Tisch, menerusi kenyataan di platform X memaklumkan bahawa suspek yang bersenjatakan senapang dan bertindak secara bersendirian berjaya dilumpuhkan, dan kawasan kejadian kini dalam kawalan pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Dan Bongino dalam kenyataan berasingan berkata, pasukan FBI turut berada di lokasi bagi membantu siasatan yang diketuai Jabatan Polis New York (NYPD).

“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Datuk Bandar New York, Eric Adams turut mengesahkan kejadian itu menerusi media sosial dan menasihatkan orang ramai agar berwaspada.

“Siasatan terhadap penembak aktif sedang dijalankan di Midtown. Sekiranya anda berada berdekatan kawasan Park Avenue dan East 51st Street, sila kekal berada di dalam bangunan,” katanya.

NYPD turut menggesa orang awam supaya mengelakkan kawasan East 52nd Street antara Park Avenue dan Lexington Avenue sehingga situasi disahkan selamat sepenuhnya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda