KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia kini semakin kukuh dengan kerjasama kedua-dua negara berkembang secara signifikan di pelbagai peringkat, dengan lawatan peringkat tinggi, penglibatan strategik yang lebih mendalam serta dialog lebih terbuka mengenai isu-isu serantau yang kompleks menjadi tanda pencapaian itu.
Duta AS ke Malaysia yang akan bersara daripada perkhidmatannya, Edgard D. Kagan berkata hubungan dua hala itu kini lebih dinamik dan telus.
“Saya amat berbangga dengan hakikat bahawa hubungan AS-Malaysia jauh lebih baik sekarang berbanding pada Disember 2023, ketika saya mula sampai. Kedua-dua pihak kini bercakap dengan lebih telus dalam pelbagai isu yang lebih luas,” katanya dalam program “The Nation” di Bernama TV pada Khamis.
Beliau memetik kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan lawatan Presiden AS Donald Trump pada Oktober 2025 sebagai pencapaian utama sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Duta.
“Sebarang lawatan oleh seorang Presiden adalah perkara yang sangat besar bagi seorang duta,” katanya, sambil menyifatkan lawatan itu sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan Malaysia dalam ASEAN.
Duta itu turut memuji modal insan dan bakat Malaysia sebagai kekuatan terbesar negara, yang menurut beliau berpunca daripada masyarakat berbilang budaya, etnik dan agama yang memberi pendedahan awal kepada rakyatnya terhadap kepelbagaian budaya dan bahasa.
Sepanjang temu bual itu, beliau turut berkongsi pengalaman positif dan rasa sayangnya terhadap Malaysia.
“Ia merupakan satu keistimewaan yang luar biasa bagi saya untuk mewakili Amerika Syarikat di sini,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman bertugas di Malaysia sebanyak dua kali dalam tempoh berasingan menjadikan detik meninggalkan negara ini amat sukar buat dirinya.
“Saya sangat sedih. Ini kali kedua saya melaluinya, dan sangat sukar untuk pergi kali pertama dahulu. Kali kedua ini jauh lebih sukar.
“Kami mencintai Malaysia. Kami mempunyai pengalaman yang menakjubkan di sini. Dari segi profesional, ia sangat mencabar namun memberi ganjaran yang besar. Jadi, sangat berat untuk meninggalkan negara ini,” katanya.
Kagan turut menyentuh mengenai semangat “can-lah” rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai unik.
“Apabila ada sesuatu yang perlu dilakukan, maklum balas yang diterima selalunya adalah ‘can-lah’,” katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia sentiasa bersedia untuk bekerjasama walaupun terdapat perbezaan pendapat.
Mengimbas pengalaman peribadi, beliau menceritakan penglibatannya dalam sambutan Thaipusam di Batu Caves, di mana beliau berjalan berkaki ayam dan membawa susu menaiki tangga.
“Melihat suasana itu sangat menyentuh hati, dan menjadi sebahagian daripadanya – berjalan berkaki ayam menaiki tangga, membawa susu – saya rasa seperti sebahagian daripada satu tradisi,” katanya.
Beliau memerhatikan bahawa sambutan itu menyatukan rakyat Malaysia daripada latar belakang yang berbeza.
“Walaupun majoritinya adalah masyarakat India, terdapat juga orang Melayu dan Cina dalam khalayak ramai, dan ia membuatkan saya berasa sangat tenang,” katanya.
Kagan akan mengakhiri tempoh perkhidmatannya di Malaysia pada 15 Feb ini, sekali gus menamatkan kerjaya diplomatik yang cemerlang selama 35 tahun.













Tinggalkan Balasan