G7 Tegaskan Iran Tidak Boleh Miliki Senjata Nuklear Di Tengah Ketegangan Memuncak

WASHINGTON, 17 Jun — Pemimpin-pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) pada Isnin sekali lagi menegaskan bahawa Iran tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear, ketika ketegangan terus memuncak di Timur Tengah, lapor Anadolu Ajansi.

“Iran merupakan punca utama ketidakstabilan dan keganasan serantau,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pemimpin Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) selepas sidang kemuncak mereka di Kanada.

“Kami sentiasa konsisten dengan pendirian bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.

“Kami menggesa agar penyelesaian terhadap krisis Iran dapat membawa kepada meredakan ketegangan yang lebih menyeluruh di Timur Tengah, termasuk gencatan senjata di Gaza,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa G7 akan terus “berwaspada” terhadap kemungkinan kesan terhadap pasaran tenaga global dan bersedia menyelaras usaha demi memastikan kestabilan pasaran.

Ketegangan antara Iran dan Israel meningkat sejak Jumaat lalu apabila Israel melancarkan serangan udara dan dron secara serentak ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear yang mencetuskan tindak balas balas daripada Tehran.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda