Gunung Lewotobi Di Indonesia Meletus, Penduduk Dinasihat Jauhi Kawasan Gunung

JAKARTA, 17 Jun — Gunung Lewotobi Laki-laki yang terletak di Wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus pada Selasa, memuntahkan abu setinggi sehingga 10 kilometer ke udara dan mendorong pihak berkuasa menggesa penduduk agar menjauhi kawasan sehingga lapan kilometer daripada gunung berapi itu.

Menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia, letusan yang berlaku pada 5.35 petang waktu tempatan menghasilkan abu tebal berwarna kelabu yang bergerak ke pelbagai arah dan disertai aliran piroklas.

“Orang awam dan pelawat dinasihatkan agar mengelakkan semua aktiviti dalam radius tujuh kilometer daripada kawah, serta dalam sektor yang menjangkau sehingga lapan kilometer ke arah timur laut dan barat daya,” menurut kenyataan PVMBG.

Pusat itu turut memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya aliran lumpur gunung berapi ketika hujan lebat dengan sungai di kawasan Dulipali, Padang Pasir, Nobo, Nurabelen, Klatanlo, Hokeng Jaya, Boru dan Nawakote berpotensi terjejas.

Penduduk yang terkesan akibat hujan abu dinasihatkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko masalah pernafasan, memandangkan gunung berapi itu berada pada tahap amaran tertinggi, Tahap 4, sebelum letusan berlaku.

Indonesia yang terletak di Lingkaran Api Pasifik  mempunyai lebih 100 gunung berapi aktif dan kerap mengalami aktiviti gunung berapi.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda