JAKARTA, 11 Sept — Sebuah helikopter yang membawa empat orang terhempas di wilayah Papua, Indonesia, selepas terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Ilaga ke Timika, kata agensi mencari dan menyelamat negara itu.
Helikopter jenis AS350 B3 yang dikendalikan oleh PT Intan Angkasa dengan nombor pendaftaran PK-IWS itu berlepas dari Ilaga pada 11.30 pagi waktu tempatan pada Rabu dan dijadualkan tiba di Timika sejam kemudian.
“Di dalamnya terdapat dua kru dan dua penumpang yang sedang menghantar barangan keperluan kepada komuniti terpencil di wilayah itu,” kata Ketua Basarnas Mohammad Syafii dalam satu kenyataan.
Beliau berkata sebuah lagi helikopter syarikat itu, PK-IWD, telah berlepas kira-kira 10 minit lebih awal melalui laluan sama dan sempat berhubung menerusi radio dengan PK-IWS sebelum cuaca buruk mengganggu komunikasi.
“PK-IWD mendarat dengan selamat di Timika dan kemudiannya berpatah balik melalui laluan sama untuk membantu dalam operasi pencarian.
“Kru penerbangan itu akhirnya menemukan bangkai PK-IWS di cerun gunung yang curam pada ketinggian melebihi 3,000 meter,” jelasnya.
Mohammad berkata operasi pemindahan mangsa dijadualkan pada Khamis, bergantung kepada keadaan cuaca dan akan melibatkan Basarnas, tentera, polis serta pihak berkuasa tempatan.
Misi itu akan menggunakan peralatan khas altitud tinggi dan sebuah lagi helikopter PT Intan Angkasa yang dihantar dari Nabire, tambahnya.
Beliau menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sambil menegaskan bahawa perkembangan terkini akan diumumkan sepanjang operasi mencari dan pemindahan dijalankan.
Tinggalkan Balasan