Indonesia Hampir Muktamad Perjanjian Perdagangan Dengan EU, Blok Eurasia

JAKARTA, 11 Jun — Indonesia dijangka memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) menjelang akhir tahun ini bagi memperluas akses pasaran dan menarik pelaburan asing, menurut pegawai kerajaan.

Kedua-dua perjanjian itu ialah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-EU (CEPA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Indonesia-EAEU.

Menteri Perdagangan Budi Santoso berkata perjanjian berkenaan penting dalam situasi ketidaktentuan perdagangan global dengan potensi untuk mempelbagaikan pasaran eksport Indonesia dan menyediakan alternatif bagi produk yang terjejas akibat dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

“Rundingan berjalan lancar dan kami menyasarkan untuk menyelesaikannya tahun ini. Kami akan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh sektor perniagaan dan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu bertujuan mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif ke atas eksport utama Indonesia seperti minyak sawit, produk pertanian, tekstil dan elektronik selain turut merangkumi pelaburan, kemampanan dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Rundingan dengan EU bermula pada 2016 manakala rundingan dengan EAEU yang dianggotai Rusia, Kazakhstan, Belarus, Armenia dan Kyrgyzstan, dilancarkan pada 2022.

Menurut Kementerian Perdagangan, jumlah dagangan Indonesia dengan EU mencecah US$30.1 bilion pada 2024 dengan lebihan dagangan sebanyak US$4.5 bilion manakala dagangan dengan EAEU bernilai US$4.1 bilion dengan defisit sebanyak US$1.1 bilion.

Kementerian itu berkata perjanjian berkenaan dijangka dapat mempelbagaikan pasaran eksport dan mengukuhkan kedudukan Indonesia sebagai pemain ekonomi utama di Asia Tenggara.

“Perjanjian ini bukan sekadar meningkatkan perdagangan, tetapi juga memperkukuh daya saing, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan industri,” kata Ketua Pengarah Perundingan Perdagangan Antarabangsa Djatmiko Bris Witjaksono.

Kerajaan Indonesia turut mempromosikan perjanjian itu melalui Program Eksport BISA yang menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk menembusi pasaran global menerusi padanan perniagaan, latihan dan perkongsian.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda