Indonesia Lantik Iman Hascarya Kusumo Sebagai Duta Ke Malaysia

JAKARTA, 8 Okt — Presiden Indonesia Prabowo Subianto secara rasmi melantik R.M. Iman Hascarya Kusumo sebagai Duta Istimewa dan Mutlak Indonesia ke Malaysia.

Pelantikan itu dibuat pada Rabu dalam satu majlis di Istana Negara, Jakarta Pusat, menandakan permulaan tugas rasmi Iman bersama sembilan lagi duta baharu yang mewakili Indonesia.

Majlis itu disiarkan secara langsung menerusi media sosial, dengan Prabowo dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka menyampaikan ucapan tahniah kepada para duta yang baru dilantik.

Prabowo menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya kekal komited memperkukuh diplomasi global Indonesia, memperluas kerjasama strategik serta mempertahankan kepentingan nasional dalam persekitaran politik dan ekonomi antarabangsa yang pantas berubah.

Iman, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Bendahari Pasukan Kempen Nasional Prabowo-Gibran semasa Pilihan Raya Presiden 2024.