Indonesia Pastikan Penghantaran Pulang Anggota Pengaman Terkorban Dari Lubnan Selamat, Segera

JAKARTA, 3 April — Kerajaan Indonesia terus berkoordinasi rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan proses penghantaran pulang tiga anggota pengaman yang terkorban di Lubnan berjalan dengan cepat, selamat dan lancar, dengan kepulangan jenazah mereka dijangka pada minggu pertama April.

Timbalan Wakil Tetap Indonesia ke PBB Umar Hadi berkata proses penghantaran pulang dalam situasi konflik adalah mencabar, namun beliau menegaskan semula komitmen kerajaan untuk memastikan kepulangan yang bermaruah dan tepat pada masanya sebagai tanda penghormatan kepada anggota terkorban serta memenuhi tanggungjawab negara terhadap keluarga mereka.

“Dalam keadaan biasa, perjalanan dari Beirut ke Jakarta mengambil masa sekurang-kurangnya 17 jam.

“Namun ketika ini, intensiti pertempuran bersenjata di pelbagai lokasi di rantau itu, termasuk disebabkan oleh peningkatan serangan Israel di selatan Lubnan, bukan sahaja mengehadkan pergerakan malah menjadikan setiap langkah sebagai isu keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Luar Indonesia pada Jumaat.

Tiga anggota yang gugur itu ialah Kapten Infantri Zulmi Aditya Iskandar, Sarjan Muhammad Nur dan Prebet Kelas Pertama Farizal Rhomadhon yang terkorban dalam serangan pada 29 dan 30 Mac lepas ketika berkhidmat di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Satu istiadat penghormatan kepada anggota pengaman terkorban telah diadakan pada 2 April waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri, dipimpin oleh Komander Pasukan UNIFIL sebagai penghormatan terakhir terhadap khidmat dan dedikasi mereka dalam mengekalkan keamanan dunia.

Umar turut menyampaikan ucapan takziah mendalam kerajaan atas kehilangan itu, sambil menyatakan pemergian mereka meninggalkan kesedihan mendalam bukan sahaja kepada keluarga malah seluruh rakyat Indonesia.

“Khidmat bakti mereka merupakan sebahagian daripada komitmen Indonesia dalam mengekalkan keamanan dunia seperti yang termaktub dalam Mukadimah Perlembagaan 1945,” katanya.