Indonesia Sambut Kelahiran Pertama Anak Panda Gergasi

JAKARTA, 8 Jan — Taman Safari Indonesia (TSI) Bogor menyambut kelahiran anak panda gergasi pertama di negara itu baru-baru ini, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam kerjasama China dan Indonesia bagi perlindungan dan pembiakan panda gergasi.

Menteri Kehutanan Indonesia Raja Juli Antoni dalam sidang media pada Selasa berkata anak panda itu dilahirkan pada 27 November 2025 dan merupakan anak kepada panda gergasi dari China Cai Tao dan pasangannya Hu Chun. Anak panda itu kini dilaporkan dalam keadaan sihat.

Kerajaan Indonesia mengumumkan berita baik itu sempena 40 hari kelahiran anak panda gergasi berkenaan selaras dengan budaya masyarakat tempatan.

Proses pembiakan anak panda itu dilakukan secara bersama oleh pasukan penyelidik dari China dan Indonesia dengan menggunakan teknologi pembiakan bantuan.