Iran Sedia Berunding Dengan AS Berdasarkan Kerangka Antarabangsa – Pezeshkian

ISTANBUL, 25 Jun — Presiden Iran Masoud Pezeshkian menyatakan kesediaan negaranya untuk menyelesaikan perselisihan dengan Amerika Syarikat (AS) berdasarkan kerangka yang adil dan berlandaskan undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut siaran televisyen negara Iran, pendirian itu dinyatakan Pezeshkian semasa perbualan telefon berasingan pada Selasa dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

“Kami berharap rundingan antara Iran dan AS dapat dimulakan dalam masa terdekat dan membawa kepada hasil yang positif,” kata Pezeshkian dalam perbualan dengan Putera Mahkota Arab Saudi.

Beliau menegaskan bahawa Iran mahu mencapai perjanjian yang adil dan munasabah berdasarkan undang-undang antarabangsa – perjanjian yang mempertahankan hak rakyat Iran dan menyumbang kepada kestabilan serta pembangunan serantau.

“Kami tidak menuntut apa-apa melebihi hak kami yang sah, dan mengalu-alukan sebarang sokongan daripada negara yang mesra dan bersaudara dalam menyelesaikan isu ini,” kata beliau.

Dalam perbualan itu, Putera Mohammed bin Salman bertitah bahawa Arab Saudi sejak awal mengecam tindakan Israel terhadap Iran dan tidak membenarkan ruang udaranya digunakan untuk operasi itu.

“Kami, mahupun mana-mana negara lain di rantau ini tidak membuka ruang udara bagi sebarang tindakan terhadap Iran dan kami tidak akan berbuat demikian. 

“Tiada operasi terhadap Iran akan dilancarkan dari pangkalan AS di negara kami. Kami juga memahami kewajipan anda untuk bertindak balas terhadap serangan AS,” titah Putera Mahkota.

Sementara itu, dalam perbualannya dengan Presiden UAE Sheikh Mohammed bin Zayed, Pezeshkian menyatakan bahawa rantau ini boleh dibangunkan “bersama tanpa campur tangan asing, dalam suasana kerjasama, kestabilan dan keamanan.”

Pemimpin UAE itu dilaporkan mengulangi pendirian konsisten negaranya yang menyokong inisiatif ke arah keamanan dan keselamatan serantau, sambil menekankan kepentingan memastikan perjanjian yang dimeterai memberi manfaat kepada semua negara dan rakyat di rantau ini.

Dalam perbualan dengan Sharif pula, Pezeshkian menegaskan bahawa “konspirasi musuh tidak akan mampu menjejaskan persahabatan antara Iran dan Pakistan.”

Ketegangan memuncak selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran mulai 13 Jun, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, dengan mendakwa Tehran hampir menghasilkan senjata nuklear – dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron, sekali gus mencetuskan campur tangan AS yang membedil tiga kemudahan nuklear Iran pada Ahad.

Selepas 12 hari konflik antara Israel dan Iran, Presiden AS Donald Trump mengumumkan gencatan senjata pada malam Isnin, sambil menggesa semua pihak mematuhinya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda